Wednesday 11 May 2011

KEGANASAN DI TEMPAT KERJA

KEGANASAN DI TEMPAT KERJA


TEORI-TEORI YANG BERKAITAN BAGI MENJELASKAN ISU KEGANASAN ATAU JENAYAH

Teori Klasik

     Ahli falsafah Francis, Rene Descartes (1596-1650) telah melahirkan teori tentang kebebasan individu untuk memilih sama ada melakukan jenayah seperti keganasan atau tidak. Menurut tesis Descartes, kuasa penaakulan (reasoning) dan kebebasan memilih adalah pemberian Tuhan yang membezakan manusia daripada makhluk yang lain. Beberapa orang penulis seperti Taft dan England mengulas teori Descartes seperti yang berikut:

“Descartes berpendapat bahawa undang-undang alam semula jadi bukan sahajamengawal kejadian luaran manusia tetapi juga yang berlaku dalam manusia iaitu seperti proses pembesaran tubuh badan, kesihatan, dan perubahan yang membawa kerosakan. Descartes telah melahirkan doktrin yang membantu membentuk reformasi undang-undang jenayah, menyediakan hukuman yang rasional dan melahirkan imej mental manusia yang sedang bekerja dan ia jelas kelihatan hingga ke hari ini.”

Falsafah kebebasan memilih ini dipegang oleh beberapa ahli kriminalogi terawal, digelar sebagai teori klasik kriminalogi.

Teori Psikologi

     Perlakuan jenayah seperti keganasan jelas berhubungan dengan pelbagai kehendak emosi dan fizikal, dan cara yang bagaimana seseorang memuaskan kehendak itu. Ahli psikologi berpendapat bahawa perlakuan sebarang jenayah termasuk keganasan berhubung rapat dengan kehendak psikologi, sosial dan psikologikal. Individu akan memenuhi kehendak itu mengikut caranya sendiri, bergantung kepada kadar keperluan dan keadaan positif negative.
     Mengikut teori Freud, kelakuan yang menyalahi norma adalah perlakuan jenayah sebagai cara melahirkan kehendak keperluan asas, konflik di antara superego dengan keperluan manusia, pelarian daripada kenyataan atau usaha tanpa disedari merupakan cara menyelasaikan masalah emosi. Abraham Maslow dalam bukunya yang bertajuk Psychology Today: An introduction telah menyenaraikan lima tahap keperluan asas mengikut struktur atau hierarki. Menurut tesisnya, keperluan asas harus dipuaskan dahulu sebelum individu boleh berfungsi dengan berkesan menuju ke arah memuaskan keperluan asasnya yang seterusnya. Maslow mengkategorikan keperluan asas seperti yang berikut:

  1. Psikologikal: lapar, haus, seks, rehat, udara.
  2. Keselamatan: teratur, selamat dan sebagainya.
  3. Cinta dan pemilikan: hubungan antara manusia
  4. Esteem: kejayaan, berkebolehan, bebas, reputasi dan darjat.
  5. Self actualization: ekpolitasi kebolehan, keupayaan dan kemampuan.

Apabila seseorang kanak-kanak meningkat dewasa, keperluan asasnya akan ber-kembang dan berkembang dan begitu juga kaedah memuaskan kehendaknya. Dia akan belajar membuatnya, melihat orang lain serta percubaan sendiri. Kekecewaan akan dialami oleh individu kerana dia tidak akan dapat memenuhi semua kehendaknya. Apa yang perlu dipelajarinya ialah mengawal diri sendiri dan berkompromi. Dia sendiri akan sedar sama ada sesuatu tindakan itu betul atau salah.

Teori Kelemahan Mental

     Henry H. Godrad juga salah seorang daripada pakar psikologi yang mengkaji sebab berlaku jenayah seperti keganasan telah menghubungkan kelemahan mental dengan jenayah. Pada tahun 1914 beliau menganggarkan lebih daripada 50 peratus penjenayah adalah lemah daya pemikirannya. Dalam kajian yang akhir, Gogdrad menyatakan bahawa tidak dapat dinafikan bahawa salah satu sebab utama perlanggaran undang-undang dalam perlakuan jenayah ialah kerana mental yang lemah.


KEGANASAN DI TEMPAT KERJA DI MALAYSIA

     Terdapat pelbagai jenis keganasan di tempat kerja. Antranya keganasan fizikal, keganasan mental, dan keganasan terhadap harta benda. Perbincangan mengenai ketiga-tiga keganasan ini dibincangkan secara ringkas.

Keganasan Fizikal

     Keganasan fizikal merupakan keganasan melibatkan fizikal pekarja atau majikan. Biasanya mangsa keganasan fizikal ini akan mengakibatkan kematian, cacat akal dan kecederaan. Keganasan fizikal adalah jenis keganasan yang sering berlaku dalam organisasi kesan daripada serangan seseorang terhadap pihak yang lain. Bentuk serangan yang dilakukan sama adan melibatkan senjata api, peralatan tajam seperti pisau, dan kekuatan fizikal seperti tendangan, tumbukan, hentakan dan sebagainya yang boleh dalam kategori ini.

Keganasan Mental

     Keganasan mental merupakan keganasan yang berpunca daripada keganasan fizikal dan keganasan mental. Apabila keganasan fizikal terjadi, misalnya kepala dipukul dengan benda yang keras, kepala mungkin pecah. Walaupun kepala mungkin sembuh akibat cedera, tetapi fikiran mangsa telah tidak normal atau terus gila. Keganasan mental juga terjadi apabila berlakunya gangguan terhadap pemikiran dan emosi yang tertekan yang dialami oleh seseorang. Misalnya gangguan seksual dari segi lisan terhadap pekerja wanita contohnya teguran, komen-komen, berjenaka, mengusik, membuat bunyi dan menyoal perkara-perkara yang tidak menyenangkan akan menyebabkan minda seseorang itu terganggu untuk jangka masa panjang atau pendek mengikut trauma yang berlaku. Akibatnya perasaan tidak berdaya akan timbul, kuasa pada diri sendiri tergugat, sistem perlindungan dalam diri akan gagal, disintegrasi sistem badan akan berlaku dan seterusnya membawa kepada kesakitan mental setiap kali ingatan mengimbas kembali episode pahit yang telah dilalui dahulu.

Keganasan Terhadap Harta Benda

     Keganasan ini dilakukan oleh pekerja terhadap barangan keluaran organisasi dengan pelbagai cara. Kerosakan harta benda organisasi tempat pekerja bekerja yang dilakukan dengan pelbagai cara antaranya adalah:

a)  keganasan oleh pekerja terhadap majikan dengan mencuri barangan milik organisasi.
b)  Keganasan oleh pekerja tehadap organisasi dengan merosakkan harta benda mereka seperti kereta, peralatan pejebat atau mesin.
c)  Keganasan juga dilakukan oleh orang luar atau masyarakat setempat terhadap organisasi dan pekerja akibat kilanan mereka terhadap perilaku organisasi dan pekerja mereka. Sebagai contoh kilang aluminium dibakar oleh penduduk tempatan di Johor dalam tahun 2002.
FAKTOR-FAKTOR YANG MENYEBABKAN KEGANASAN BERLAKU

Pembahagian Kerja yang Tidak Sistematik dan Adil

     Kegagalan pengurusan dalam mengagihkan kerja secara adil dan sistematik di kalangan pekerja boleh menyebabkan keganasan berlaku di tempat kerja atau di tempat lain akibat daripada ketidakpuasan hati pekerja. Pembebanan kerja yang tidak dapat ditanggung oleh pekerja juga menyebabkan keganasan berlaku kerana pekerja akan berasa tertekan. Apabila ada sahaja faktor-faktor lain, misalnya emosi terganggu, pekerja tadi akan mencetus keganasan sama ada terhadap majikan atau kepada rakan-rakan sekerjanya. Keganasan akan berlaku pada bila-bila masa sahaja, tanpa diduga atau di mana-mana akibat kegagalan pengurus membahagikan kerja dengan sistematik serta adil.

Kesan Penggunaan Dadah dan Alkohol

     Penggunaan dadah dan juga alcohol merupakan satu faktor penting yang menyebabkan keganasan berlaku di tempat kerja. Ini amat berkait rapat dengan kesilapan mengambil pekerja yang terdiri daripada golongan ini menjadikan tempat kerja sebagai gelanggang keganasan. penagih dadah akan mudah terangsang untuk menagih dan melakuakan keganasan jika perbuatan dan kehendak mereka dihalang. Pekerja yang diaambil kadangkala tidak diminta melalui ujian kesihatan yang teliti sebelum diambil bekerja bagi menentukan pekerja bebas daripada ketagihan dadah atau alkohol.

Tekanan Kerja di Tempat Kerja

     Tekanan kerja di tempat kerja juga mempengaruhi sesuatu keganasan di tempat kerja berlaku. Jika bebanan kerja melebihi keupayaan maka pekerja berkenaan akan bekerja dalam keadaan tertekan. Keadaan ini bertamabah parah apabila pekerja bekerja dalam tekanan untuk memenuhi sasaran yang telah ditetapkan. Pekerja yang semakin tertekan akan terdedah untuk melakukan pelbagai keganasan. lambakan kerja yang tidak terpikul oleh pekerja menyebabkan pekerja berasa majikan menzaliminya. Jika pekerja tadi berasa diri mereka berada pada tahap itu, maka pekerja tadi terdedah kepada keganasan yang bakal dilakukankannya. Mungkin pekerja tadi akan bertindak menipu majikan untuk mencapai sasaran secara mudah.

Masalah Kewangan atau Pampasan

     Pekerja dengan majikan saling memerlukan untuk kelangsungan bekerja. Majikan perlu untung dan pekerja perlukan upah dan gaji dalam bentuk wang. Upah dan gaji yang rendah akan mendorong pekerja tertekan di samping lambakan kerja yang perlu diselesaikan. Lambakan kerja yang tidak setimpal dengan upah yang dibayar akan mendorong pekerja menjadi ganas di tempat kerja seperti mencederakan majikan dan rakan-rakan sekerja yang lain bagi menunjukkan ketidakpuasannya.

Masalah Hutang dan Bebanan Kewangan Peribadi

     Bebanan hutang yang banyak juga menyebabkan jiwa pekerja dan majikan berasa tertekan yang mendorong keganasan berlaku di tempat kerja. Pekerja yang mempunyai hutang peribadi yang banyak dan gagal melangsaikannya sehingga banyak menerima saman dari institusi kewangan atau kejatuhan harga saham yang mendadak yang menjatuhkan nilai asset yang dimiliki. Ataupun terdapat surat saman kenderaan yang tidak dibayar, kenderaan akan ditarik balik dan hutang kad kredit yang tidak mampu dijelaskan. Di pejebat mungkin rakan-rakan sekerja membuat sindiran yang menjuruskan pekerja berkennaan hilang pertimbangan sehingga ada pihak lain yang menjadi mangsa kesan daripada kemarahannya.
     Bagi majikan pula, bebanan hutang yang banyak akibat daripada kemerosotan ekonomi, disaman kerana tidak mampu menjelaskan hutang kepada pembekal dan peminjam sehingga dibawa ke mahkamah dan diisytiharkan muflis. Kesulitan yang dialami oleh majikan menyebabkan mereka lebih sensetif walaupun dengan masalah kecil yang ditimbulkan oleh pekerja. Majikan mungkin akan hilang kewarasan dan bertindak untuk memukul, menampar dan membuang pekerja akibat daripada kesilapan kecil yang dilakukan oleh pekerja.

Masalah Rumahtangga

     Maslah rumahtangga yang terbawa-bawa sehingga ke pejebat banyak mendorong pekerja melakukan keganasan di tempat kerja. Antara masalah rumahtangga yang berlaku ialah masalah keluarga, keruntuhan rumahtangga, keruntuhan moral anak-anak seperti penagihan dadah, minum arak dan keruntuhan akhlak. Campur tangan pihak lain dalam masalah rumahtangga seperti ibubapa mertua menambahkan lagi tekanan. Pekerja yang tertekan ini akan terbawa-bawa sikapnya ke pejabat sehingga menimbulkan tingkah laku keganasan. Misalnya jika hanya sedikit masalah yang timbul di pejabat seperti sindiran daripada kawan-kawan akan menyebabkan pekerja tadi akan bertindak ganas.

Persekitaran Tempat Kerja

     Persekitaran tempat kerja juga boleh mengundang keganasan berlaku. Keadaan bilik pengurus jauh terkurung atau hanya di tingkat atas mendedahkan keganasan ketua-ketua pejabat terhadap wanita seperti keganasan seksual. Keganasan seksual boleh jadi gangguan fizikal. Gangguan ini melibatkan perbuatan seseorang individu yang mempunyai unsure-unsur seksual. Contohnya seperti mencubit, menggeselkan badan, menepuk bahu, memeluk atau pencabulan kehormatan wanita.
     Selain itu persekitaran tempat kerja misalnya, di tapak-tapak binaan kilang-kilang, bengkel kereta yang mempunyai peralatan yang boleh dijadikan senjata merupakan pemangkin kepada keganasan. apabila ada pergaduhan kecil peralatan tajam, tukul, pemutar skru menjadi senjata utama sama ada untuk mempertahankan diri atau digunakan untuk menyerang mangsa.

Kelemahan Kawalan Peralatan di Tempat Kerja

     Kelemahan kawalan peralatan di tempat kerja akan memudahkan keganasan berklaku di tempat kerja. Besi-besi tajam, kayu yang merata-rata tempat di tapak binaan menjadi senjata yang mudah merangsang kejadian keganasan. kejadian memukul pekerja di tapak binaan sudah tidak menjadi asing di Malaysia. Di Klang pada 26hb April 2000 (Utusan Malaysia) seorang buruh binaan dari Indonesia ditemui mati diserang dengan kayu dan besi tajam akibat dendam.





STRATEGI-STRATEGI YANG PERLU DIAMBIL DALAM MENANGANI KEGANASAN

Pembahagian Kerja Secara Adil dan Munasabah

     Pekerja ialah manusia biasa yang mempunyai perasaan kemampuan bekarja dan sebagainya. Oleh itu, kerja yang dibebankan kepada pekerja perlu sesuai dengan kehendak, kemampuan dan ketahanannya. Jika pekerja dibebankan dengan kerja yang tidak munasabah, mereka akan berada di bawah tekanan. Tekanan ini akan menjadi punca kepada keganasan berlaku. Pekerja sepatutnya menerima beban tugas secara adil sesama mereka. Keadilan membahagikan tugas ini akan menjadikan mereka kurang cemburu sesama sendiri dan mereka saling menghormati satu sama lain. Hal ini dapat mengelakkan keganasan berlaku.

Media Elektronik Perlu Dibendung dan Diselia

     Media elektronik perlu disekat daripada menyiarkan babak-babak ganas yang bakal ditiru oleh penonton. Televisyen dan media elektronik yang lain seperti internet perlu dipandu supaya dapat menyemai sikap bertolak-ansur, menghormati orang lain dan sifat-sifat positif. Ini akan mengelkkan keganasan di tempat kerja berlaku.

Mengadakan Kursus-kursus kepada Pekerja

     Pekerja perlu diberi kursus sebanyak mungkin tentang pembangunan insan. Badan-badan agama dan kesatuan-kesatuan berperanan untuk meningkatkan kesedaran di kalangan pekerja tentang kepentingan hubungan harmoni sesama pekerja. Oleh itu keganasan dapat dibendung walaupun tidak sepenuhnya.

Memberi Kesedaran Tentang Bahan-bahan yang Digunakan

     Pekerja perlu diberitahu tentang betapa pentingnya disiplin yang tinggi sama ada dalam mengendalikan bahan-bahan berbahaya seperti asid atau menggunakan peralatan-peralatan yang boleh mencederakan terutamanya di tapk-tapak binaan atau kilang, ini menghindarkan daripada menggunakan bahan-bahan atau peralatan-peralatan tersebut untuk digunakan senjata bagi melakukan keganasan.


Persekitaran Tempat Kerja yang Baik

     Persekitaran kerja yang baik amat penting bagi keselesaan dan ketenangan pekerja ketika menjalankan tugas. Oleh itu majikan perlu menyediakan persekitaran kerja yang baik. Hal ini dapat mengelakkan pekerja tadi mengalami tekanan perasaan yang boleh membawa faktor keganasan di tempat kerja. Misalnya majikan harus menyediakan ruangf pejebat yang dilengkapi dengan penghawa dingin, ruang pejabat yang tidak terlalu sempit dan lokasi pejabat yang jauh daripada pencemaran bunyi kenderaan-kenderaan atau bunyi dari tapak-tapak binaan.

Pemilihan Pekerja yang Betul

     Semasa pemilihan pekerja dan temuduga, pemilihan pekerja yang teliti dapat membantu majiakan dan pekerja agar betul-betul mendapat pekerja yang tidak mengalami masalah seperti pesakit mental dan bebas dariapda pengambilan dadah atau ketagihan alkohol. Justeru itu, sebelum seseorang pekerja itu disahkan dari jawatannya laporan kesihatan perlu diperolehi dengan meminta calon kerja menjalani ujian kesihatan terlebih dahulu bagi mengesahkannya bebas daripada sebarang penyakit atau ketagihan alkohol atau pengambilan dadah. Menurut Tonowski, 1993, maklumat tentang latar belakang dan maklumat daripada sumber rujukan pemohon sama ada beliau pernah terlibat dengan sebarang keganasan atau tidak adalah penting dalam proses pemilihan pekerja.
Ini kerana, maklumat berkenaan boleh digunakan untuk melihat sama ada pekerja pernah terlibat dalam keganasan di tempat kerja, mempunyai kisah hidup yang ganas atau mempunyai kekerapan dalam dibuang atau bertukar kerja. Mengadakan ujian-ujian psikologi seperti ujian kejujuran, dan ujian personaliti, misalnya ujian MMPI (Minnesota Multiphasic Personality Inventory)penting dalam proses pemilihan pekerja bagi mendapatkan pekerja yang terbaik dan bebas daripada sebarang kisah keganasan di tempat kerja. Jika betul-betul teliti semasa pengambilan pekerja maka kes pemandu bas ekspress merogol dan membunuh pegawai di Klang baru-baru ini tidak akan berlaku.




Menganjurkan Aktiviti Sosial

     Bagi membendung keganasan dengan lebih mantap lagi, majikan perlu mengadakan perjumpaan sosial di kalangan pekerja mereka di luar pejabat, misalnya pada hari minggu dan hari kelepasan. Perjumpaan-perjumpaan sosial seperti ini akan menggalakkan komunikasi, mengeratkan jalinan kemesraan di kalangan pekerja dengan majikan , bahkan juga dengan keluarga mereka yang akan menjurus keharmonian sebagai satu keluarga satu majikan demi mengelakkan kaganasan berlaku.

Keselamatan di Tempat Kerja 

     Keselamatan di tempat kerja penting bagi mengelakkan pekerja berasa tertekan dengan masalah lain di etmpat kerja. Oleh itu akta seperti Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan peraturan (Akta 514) amat penting bagi sesuatu organisasi bagi mengelakkan sebarang kemungkinan yang negatif seperti keganasan. melalui akta ini, kita dapat melihat akan kewajipan pihak yang yang terlibat dalam operasi dan pengurusan organisasi memetuhi sistem perundangan. Perun dangan ini adalah berhubung dengan kewajipan yang perlu diambil oleh pihak organisasi dan pekerja dalam memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja terjamin. Jika terdapat sebarang perlanggaran dalam akta dan peraturan ini, maka pihak yang bersalah akan dikenakan penalty atau hukuman yang sewajarnya. Oleh yang demikaian, perlunya setiap organisasi memastikan bahawa akta dan peraturan ini dipatuhai bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini seperti keganasan.


Pekerja Diberiakn Pakaian yang Lengkap

     Keganasan di tempat kerja boleh dibendung dengan cara melengkapkan pekerja dengan pakaian yang lengkap, terutamannya pengawal keselamatan bank dilengakpi dengan baju kalis peluru, adalah lebih diyakini, perompak terpaksa berfikir dua atau tiga kali untuk merompak bank atau niatnya terus terkubur. Perompak berasa bimbang, sekiranya pengawal akan bertindak balas terhadap tembakan mereka.



Sistem Ganjaran yang Lebih Adil

     Jika pekerja dibebani tugas yang berat maka pekerja mengharapkan ganjaran yang diterima juga tinggi. Jadi amjikan perlu mengambil sistem ganjaran yang lebih adil. Jadi penilaian perlu dibuat dengan lebih teliti walaupun organisasi terpaksa menggunakan pendekatan prestasi 360%. Hal ini boleh mengelakkan pekerja berasa tertekan dengan kerja yang bakal mencetus keganasan di tempat kerja.

Memerlukan Pembendungan Kemalangan

     Pekerja perlu dibendung oleh majikan dariapda menjadi mangsa kemalangan di tempat kerja. Majikan bertanggungjawab atas keganasan dan kemalangan di tempat kerja (Jamil Salmi 1980). Jadi pekerja dibendung daripada terjebak oleh keganasan di tempat kerja.

Memerlukan Pembendungan Keganasan Semula Jadi

     Keganasan semual jadi seperti rebut dan taufan, tanah runtuh dan banjir merupakan ancaman terhadap pekerja di tempat kerja. Jadi langkah-langkah mencegah perlu dijalankan oleh pekerja dengan kerjasama majikan daripada perkara yang tidak diingini berlaku.

Perlantikan Kaunselor dalam Setiap Organisasi

     Perlantikan kaunselor di setiap organisasi amat penti ng bagi menguruskan pekerja yang bermasalah.ini kerana peranan kaunseling di tempat kerja atau organisasi amat penting terutamannya memperbaikai imej diri pekerja yang negatif, mengajar pekerja yang bermasalah menyesuaikan diri dengan situasi kerja, mempermudah atau menggerakkan perubahan tingakah laku pekerja yang negatif, membantu pekerja menjadi lebih produktif, membimbing pekerja mencari dan memupuk sumber dalaman, mempertingkatkan kemampuan pekerja bermasalah membuat keputusan, dan membantu pekarja mengurus masalah yang belum selesai dalam hidupnya. Dengan adanya bantuan kaunseling atau kaunselor di tempat kerja bagi mengatasi masalah-masalah pekerja, sudah tentulah keganasan di tempat kerja dapat dikawal kerana pekerja mempunyai alternative yang lebih baik ke arah penyelesaian masalah selain melakukan kelangsangan.

KEGANASAN DARI PRESPEKTIF PSIKOLOGI DAN CARA MENENGANINYA

     Sejajar dengan berbagai-bagai pandangan tentang pembentukan personality manusia, ahli-ahli psikologi juga mengemukakan pandangan masig-masing mengikut teori mereka tentang tingkah laku agresif manusia. Tingkah laku agresif termasuk semua jenis tingkah laku yang mengganggu atau termasuk semua jenis tingkah laku yang merosakkan organism lain seperti tingkah laku keganasan, jenayah, memaki hamun atau merosakkan harta benda. Sekarang akan ditinjau beberapa prespektif ahli psikologi tentang kelangsangan manusia (human aggressiveness).

Prespektif Psikologi Islam

     Mengikut Imam Ghazali personality Islam terbahagi kepada empat iaitu nafsu, akal, hati (qalb) dan roh. Gabungan empat unsur itu membentuk personality seorang individu. Tingkah laku jenayah atau keganasan individu adalah kerana kerendahan nilai nafsunya yang terbahagi kepada tujuh peringkat. Peringkat ayng dapat dicapai oleh manusia biasa hanyalah tiga iaitu amarah, lawamah, dan mutmainnah. Seseorang individu yang berada di peringkat amarah berkemungkinan besar akan bertingkah laku agresif atau mempunyai kecenderungan jenayah atau sebarang keganasan.
     Oleh itu cara rawatrannya atau terapi yang dianjurkan oleh Al-Ghazali dalam memulihkan orang ini ialah meninggihkan kategori nafsunya dari nafsu peringkat rendah ke peringkat tinggi. Ini boleh dilakukan secara psychospiritual therapy iaitu menyedarkan orang itu tentang tingkah lakunya dan menanamkan nilai kerohanian (spiritual).

Prespektif Psikoanalisis (psychoanalysis)

     Teori personality psikoanalisis ini dipelopolri oleh seorang psiktiari dari Vienna bernama Sigmund Freud. Sebahagian dariapada teorinya masih digunakan oleh psiktiari di hospital-hospital hingga ke hari ini. Menurut Frued, “human by nature destructive” yang bermakna di dalam diri seseorang manusia itu memang terdapat anluri (instinct) yang mendesak untuk mendapatkan kepuasan. Di samping itu, terdapat juga unsur yang menjadi penghalang terhadap keinginan mendapatkan kepuasan. Peranggangan antara dua unsure jahat dinamakan Id dengan unsur baik yang dinamakan Superego dapat dilihat seperti yang berikut.

(desakan        (diri,akal            (undang-undan,
 untuk           perempuan)            agama, tatasusila,
 kepuasan)                             dll.)                                            
-----------------------------------------------------------    
   Id             Ego                          Superego    

     Ego ialah diri dan akal pemikiran seseorang yang cuba mengawal keseimbangan Id dan Superego. Jika Id menang dan Ego gagal mengawalnya, individu akan bertindak ganas termasuk melakukan jenayah. Jika Superego meneng manusia menjadi seorang manusia yang mematuhi norma kehidupan dan menjadi seorang yang akur.
     Proses terapi mengikut teori ini mengambil masa yang panjang dan terapi akan melihat kembali pengalaman lepas yang dilalui oleh seseorang individu. Dengan cara psikopatalogi punca yang menyebabkan timbul kelangsangan (aggressivness) itu akan dikenalpasti dan akan dirawat mengikut teknik rawatan yang dianjurkan oleh proses terapi teori psikoanalisis ini.

Perspektif Tingkah Laku (behavior)

     Ahli-ahli psikologi tingkah laku (behavior) yang dipelopori oleh B. F. Skinner dan Ivan Pavlov berpendapat bahawa tingkah laku dipelajari oleh manusia. Begitu juga halnya dengan tingkah laku keganasan dan kelangsangan yang lain, ia dipelajari oleh manusia daripada persekitarannya. Apa yang dipelajari itu tentunya boleh ditinggalkan (what is learned can be unlearned). Teori ini berpendapat bahawa manusia melakukan kelangsangan kerana mempelajari tingkah laku tersebut daripada model-model filem kaganasan dan jenayah berkemungkinan meniru perbuatan atau tingkah laku dalam media tersebut.
     Bagi memulihkan tingkah laku seseorang, ahli psikologi berpendapat bahawa persekitaran yang merangsangkan tingkah laku tersebut perlu diubah terlebih dahulu, kemudian barulah terapi untuk meninggalkan tingkah laku yang salah yang telah dipelajari itu dibuat dengan teknik seperti systematic disensitization dan sebagainya.



Persepktif Rational Emotive Therapy

     Albert Ellis, ahli psikologi yang memperkenalkan teori di atas menyatakan bahawa kepercayaan tidak rasional (irrational belive) menjadikan manusia sanggup melakukan sesuatu yang di luar norma kehidupan biasa. Contoh teori ini dapat dilihat seperti yang berikut:

     A      +     B        =   C                 D
Peristiwa      Kepercayaan    Akibat         Kaunseling
yang           (Belief)       kepercyaannya  dll.
merangsang                   (Consequences)  (Disputing
(Activating                                   intervation)
event)

     Misalnya seorang individu berada dalam keadaan yang terdesak (A) mungkin akan melakukan keganasan untuk mendapatkan wang jika sistem pemikirannya tidak rasional, (B) hanya cara keganasan sahajalah jalan untuk menyelesaikan masalahnya. Akibatnya dia akan melakukan keganasan tersebut (C).
     Bagi mengubah tingkah lakunya, sistem pemikirannya perlu diubah daripada kepercyaan tidak rasional kepada kepercayaan yang rasional. Ahli terapi perlu mencabarnya meninggalkan kepercayaan yang dimilikinya yang boleh mengakibatkan hidupnya menderita. Proses kaunseling terapi langkah trapeutik ini dikenali sebagai disputing intervention (D).

                             
KESIMPULAN

     Secara umumnya keganasan di tempat kerja perlu dicegah dan dihalang daripada berlaku. Jika keganasan terus berlaku, banyak pihak akan terlibat iaitu pekerja, majikan, keluarga, pihak berkuasa seperti polis dan sebagainya. Kesan daripada keganasan yang diakibatkan oleh rasa cemburu, perasaan tertekan, akan membawa kepada kecacatan kekal, kecederaan dan kesan mental. Oleh itu adalah penting supaya semua pihak yang terlibat iaitu pekerja-pekerja dan majikan agar mengambil langkah-langkah yang wajar seperti yang telah dibincangkan supaya keganasan yang bekal berlaku dapat dielakkan. Keganasan perlu dibendung dan dicegah agar semua pihak tidak mengalami kerugian. 

RUJUKAN

Ab. Aziz Yusof (2002). Pengurusan sumber manusia: Konsep
isu dan pelaksanaan. Malaysia: Prentice Hall Pearson Malaysia Sdn. Bhd.

Aadmodt, Michael. G. (1999). Applied industrial/ organizational psychology. United States Of America: An International Publishing Company.

Byars, L. L. & Rue, W. L. ( 1994 ). Human resource management. Sydney, Austaralia:
Richard D. IRWIN, INC.

Dessler.  Walker, L.  G. & Williams. ( 1999 ). Human resource management. Austaralia:
Prentice Hall.

Mahmood Nazar Mohamed. (1992). Pengantar psikologi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd. Reduan Aslie. (1990). Jenayah di Malaysia: Aliran, punca dan penyelesaian. Kuala Lumpur: AMK Interaksi Sdn. Bhd.

Zafir Mohd. Makhbul & Fazilah Mohamad Hasun. (2003). Pengenalan kepada sumber manusia. Kuala Lumpur: LEEDS PUBLICATIONS.

http://nsi.org/library/work/violence.html

www.crimedoctor.com

www.workplace-violence.com/                

1 comment: